Rabu, 18 Desember 2013

Kibar Sang Saka Bukan tak iktiraf Jalur

0 komentar
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pengibaran bendera Sang Saka Malaya pada 31 Ogos lalu sebagai menyambut hari kemerdekaan negara bukanlah satu perbuatan yang menghina dan tidak mengiktiraf Jalur Gemilang.

Sebaliknya tindakan itu hanyalah mengingati sejarah bendera Persekutuan Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British, demikian kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Beliau menegaskan, tindakan Sastewan Negara, Datuk A Samad Said yang dikaitkan dengan pengibaran bendera tersebut bukannya satu perbuatan yang “memalukan” sebaliknya hanya mengimbas kembali sejarah kemerdekaan negara supaya diingati generasi muda hari ini.

“Kibar bendera (Sang Saka Malaya) tidak semestinya dia nafikan Jalur Gemilang, ia cuma bendera sejarah, dia (Pak Samad) tidak pernah sebut macam itu pun.

“Kalau dia ditahan disebabkan beliau tidak mengiktiraf Jalur Gemilang, barulah wajar disiasat, malangnya Pak Samad tidak sebut pun perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin yang menyelar tindakan sasterwan negara itu kerana terlibat dengan insiden pengibaran bendera Sang Saka Malaya dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang memalukan.

Muhyiddin juga kesal apabila insiden tersebut terjadi ketika negara sedang menyambut kemerdekaan.

“Penglibatan Samad amat memalukan dan ia sangat tidak senonoh kerana dia membawa nama sasterawan,” katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang juga mempertikaikan tindakan pihak berkuasa yang menahan Pak Samad pada waktu yang tidak sesuai dan tidak wajar dilakukan terhadap seorang warga emas.

“Tidak wajar pihak berkuasa menahan beliau pada waktu malam kerana tidak sesuai bagi seorang warga emas berusia lebih 81 tahun, patut tunjuk sikit rasa hormat kepada orang tua,” tegasnya.

Pada Rabu lalu, A Samad telah ditahan di rumahnya dan dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 1 pagi.

Beliau dalam satu kenyataan di twitter memberitahu telah dibawa oleh tiga anggota polis.

Penahanan tersebut dilakukan dipercayai berkaitan isu pengibaran bendera Sang Saka Malaya sewaktu beliau mendeklamasi puisi pada malam ambang kemerdekaan.

Sementara itu, peguam, Latheefa Koya dan Eric Paulsen juga dilaporkan turut berada di IPD Dang Wangi bagi bantuan guaman kepada Sasterawan Negara itu.
Read more ►

Selasa, 17 Desember 2013

Hans Isaac Bukan Produser Pengecut

0 komentar

PETALING JAYA – Penerbit filem Hans Isaac bukan menepis tuduhan kononnya dia produser pengecut kerana enggan menerbitkan filem selepas kegagalan karya terbaharunya Lemak Kampung Santan.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 42, berkata, selama ini penerbit-penerbit filem sering dilanda pelbagai masalah bukan sahaja kerana mendapat kutipan filem yang rendah tetapi juga isu-isu sistem penayangan di pawagam yang dirasakan perlu dirombak semula.

“Orang luar tidak akan tahu bagaimana susahnya kami (pihak penerbit) berusaha untuk selamatkan industri perfileman walaupun pada dasarnya ia sukar mendapat pulangan yang memberangsangkan.

“Tetapi apabila orang memberi respons negatif kononnya saya enggan bikin filem lagi kerana takut filem gagal, itu tuduhan mengarut.

“Sebelum ini banyak filem saya gagal tetapi saya tetap teruskan terbit filem. Dan sayang sekali sistem penayangan filem kita tidak pernah diperbetulkan sejak dahulu lagi,”katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa.

Pada minggu lalu Hans telah meluahkan perasaan menerusi Twitter yang dia enggan menerbitkan filem lagi selepas Lemak Kampung Santan hanya mengutip RM100,000 dan telah ditarik daripada tayangan selepas empat hari di pawagam.

Produser itu kecewa dengan sistem apabila pihak panggung menarik balik tayangan kerana kutipan yang perlahan.

Kos produksi Lemak Kampung Santan menelan belanja RM1.7 juta.

Filem itu bertembung dengan Adnan Sempit 3 yang mencatat kutipan setakat ini kira-kira RM1.76 juta (rekod Finas sehingga 12 Ogos lalu).

Kedua-dua filem berkenaan ditayangkan serentak pada 8 Ogos lalu iaitu hari pertama Syawal.

Tegas Hans lagi, sudah tiba masanya pihak bertanggungjawab melakukan sesuatu untuk memperbetulkan sistem wajib tayang yang sebenarnya telah menyusahkan pihak penerbit.

“Selagi sistem penayangan filem tempatan kita tidak diperbetulkan, saya tidak akan menghasilkan filem lagi.

“Jika anda perasan, pengarah seperti Erma Fatima, Aziz M Osman dan Afdlin Shauki tidak lagi menghasilkan filem kerana mereka serik dengan sistem yang ada.

“Lebih baik kita terbitkan bidang seni lain seperti teater atau drama. Semua orang akan menonton.

“Dan jika sistem sudah diperbetulkan, laku atau tidak saya akan kembali menghasilkan filem macam biasa,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Hans menerusi syarikat produksinya Tall Order Productions bakal muncul dengan sebuah karya bercirikan autobiografi mengenai legenda pemain bola sepak negara, Mokhtar Dahari, berjudul SuperMokh The Musical dan Lawak Ke Der 3 yang bakal dipentaskan di Istana Budaya. - mStar Online
Read more ►
 

Copyright © Raja blog Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger